Sekatan perjalanan Polisi kawalan perjalanan dan sempadan ketika pandemik COVID-19 di Malaysia

Larangan bertarikh 7 Februari 2020 di Sabah.
Larangan bertarikh 1 Februari 2020 di Sarawak.
Larangan sementara dikeluarkan oleh Setiausaha Kerajaan Sabah dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak Kerajaan Sarawak.

Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan sejak 18 Mac 2020, semua warganegara Malaysia dilarang meninggalkan negara ini, manakala warga asing pula dilarang memasuki negara ini.[1]

Sejak gelombang pertama jangkitan virus itu dilaporkan, alat pengimbas haba telah diperkenalkan di pintu sempadan dengan pihak kesihatan Malaysia dalam keadaan waspada yang tinggi.[2] Selepas penguatkuasaan larangan pengembara dari Hubei pada 27 Januari 2020, kerajaan Malaysia meluaskan larangannya ke wilayah Jiangsu dan Zhejiang di China pada 9 Februari 2020.[3] Negeri Sabah memperluas sekatan perjalanan ke semua pintu masuknya sama ada melalui udara, laut atau darat bermula 8 Februari 2020. Sekatan tersebut berkuat kuasa kepada semua individu (kecuali penduduk Sabah), yang mempunyai sejarah perjalanan ke China dalam masa 14 hari terakhir agar mereka tidak dibenarkan memasuki negeri tersebut, manakala penduduk Sabah dengan sejarah perjalanan sedemikian pula diwajibkan menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari setiba di Sabah.[4] Negeri Sarawak telah menguatkuasakan penutupan sempadannya mulai 1 Februari 2020 kepada semua pelawat dari China dan juga warga asing yang yang telah berkunjung ke China dalam tempoh 14 hari sebelumnya, kecuali bagi mereka yang mempunyai pas pekerjaan, pas pelajar atau pas lawatan sosial jangka panjang. Walau bagaimanapun, mereka tetap dikehendaki menjalani kuarantin kendiri di rumah selama 14 hari.[5] Dengan peningkatan kes di Korea Selatan, kerajaan negeri Sabah dan Sarawak mula meluaskan sekatan perjalanannya ke negara tersebut mulai 1 Mac 2020.[6][7] Pada 4 Mac 2020, Sarawak menambah Itali dan Iran ke dalam senarai larangan perjalanannya.[8]

Pada 5 Mac 2020, Malaysia menambah tujuh buah wilayah di dalam senarai sekatan perjalanannya, termasuk Lombardia, Veneto dan Emilia-Romagna di Itali; Hokkaidō di Jepun; dan Tehran, Qom dan Gilan di Iran.[9] Menjelang 10 Mac 2020, Sabah juga mula menambah Itali dan Iran ke dalam senarai sekatannya.[10] Pada 11 Mac 2020, Malaysia telah mengumumkan sekatan penuh ke atas warga asing terus dari Itali, Iran dan Korea Selatan mulai 13 Mac 2020, manakala rakyat Malaysia dari negara tersebut akan dikuarantin selama 14 hari.[11] Berikutan penutupan penuh Denmark pada 13 Mac 2020, Malaysia telah menambah negara itu ke dalam senarai sekatan perjalanannya yang berkuat kuasa mulai keesokannya.[12]

Rujukan

WikiPedia: Polisi kawalan perjalanan dan sempadan ketika pandemik COVID-19 di Malaysia http://www.dailyexpress.com.my/news/147905/sabah-e... https://www.antaranews.com/berita/1399070/malaysia... https://www.bernama.com/en/general/news.php?id=181... https://www.bernama.com/en/general/news_coronaviru... https://www.malaymail.com/news/malaysia/2020/04/12... https://www.scmp.com/news/asia/southeast-asia/arti... https://www.straitstimes.com/asia/se-asia/malaysia... https://www.theborneopost.com/2020/02/09/coronavir... https://www.theborneopost.com/2020/03/01/foreigner... https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/03...